Blog Informasi, Idea, Kreatif

Top 11 Lagu Depressive Kegemaran Saya

Arrggh, malam ini saya sepatutnya menghabiskan masa dengan mengkhatam e-book bertajuk General Principles of Reality yang membincangkan persoalan-persoalan dalam bidang fizik yang baru dimuat turun beberapa hari yang lalu dan kemudian menyiapkan kerja-kerja mendesign di Adobe Photoshop yang sudah lama tertunggak. Malangnya setelah mendengar lagu-lagu Radiohead yang mendayu, timbul pula idea untuk menulis artikel mengenai lagu-lagu depressive (meruntun perasaan) kegemaran buat masa ini. Ikutkan sahaja kata hati.

Saya menyenaraikan sebanyak 11 buah lagu yang kesemuanya diambil dari i-Tunes komputer riba abang saya, yang memuatkan hampir 3000 lagu. Jenuh juga saya mencari, walaupun tidaklah banyak sangat jumlah tersebut.

Berikut adalah senarainya:

11) Seribu Tahun - Imran Ajmain

Lagu ini berdiri antara depressive dan jiwang serasa saya, tapi saya lebih gemar mengkategorikannya sebagai depressive kerana atas pengalaman peribadi. Lagu ini juga pernah memberi sedikit kekuatan kepada saya dahulu kerana liriknya. Bayangkan, "relaku menunggumu seribu tahun lama lagi", walaupun tak pasti cintanya akan kesampaian. Memang depressive. Hehe...

10) The Scientist - Coldplay


Antara lagu kegemaran daripada kugiran kegemaran saya. Mengisahkan tentang seseorang yang menyoal dirinya seperti seorang saintis kenapa hubungannya sebelum ini gagal. Tapi hakikatnya hubungan sesama manusia bukanlah seperti persamaan matematik yang boleh diramal kesudahannya. Ianya lebih dari itu.



9) Keroncong Untuk Ana - M Nasir



Mendengar intronya sahaja sudah cukup untuk menyentap hati saya, ditambah pula dengan vokal M Nasir yang memang mantap. Sekali lagi lagu ini juga berkisar tentang cinta yang tidak kesampaian dan liriknya straightforward sahaja, tanpa perlu apa-apa metafora seperti karya-karya M Nasir yang lain.

Saya suka dengan rangkap yang terakhir. Memang cukup sempurna sebagai satu pengakhiran satu lagu yang bagi saya cukup depressive. " Tiada ku sangka akhirnya, kau tutup semua pintu cinta untukku. Hingga ku termanggu tiada arah nak ku tuju membawa hatiku." Superb!


8) Goodbye My Lover - James Blunt

Juga merupakan penyanyi kegemaran saya, James Blunt. Liriknya mudah dan straightforward sahaja tapi gabungan vokal unik James Blunt dan alunan piano yang mendayu memang benar-benar menyentuh perasaan walaupun isi cerita dalam liriknya tidak pernah dialami oleh saya sendiri. Satu ketika dahulu ketika pertama kali mendengar lagu You're Beautiful, saya menyangkakan penyanyinya ialah seorang wanita kerana vokalnya yang unik, namun tekaan saya silap.

7) How To Dissapear Completely - Radiohead


Dalam memilih lagu Radiohead yang paling depressive saya menghadapi sedikit kesukaran kerana memang tidak dinafikan mereka banyak mencipta lagu jenisan tersebut. Saya terpaksa memilih antara lagu ini dan Exit Music dari album OK Computer, dan akhirnya saya memilih lagu ini yang dipetik dari album Kid A.


Thom Yorke sendiri ada mengatakan yang lagu ini membawa maksud yang mendalam baginya. Dengarkan sahaja bahagian terakhir lagu ini, alunan rintihan Thom Yorke mengikut melodi lagu memang benar-benar mendayu dan menggugat perasaan. Memang depressive. Radiohead bukan hanya sekadar Creep sahaja. Hehe..


6) 9 Crimes - Damien Rice


Sukar untuk menggambarkan betapa indahnya lagu duet dendangan Damien Rice dan Lisa Hannigan ini, tapi dalam masa yang sama, depressive. Perlahan sahaja rentaknya dengan alunan piano disulami dengan string arrrangement sebagai latar belakang.


Kurang pasti pula saya perihal apa liriknya bercerita, mungkin ianya mengenai pasangan yang sudah tidak lagi menyayangi antara satu sama lain, dan dalam masa sama, mereka mencintai insan lain tetapi merasakan apa yang mereka lakukan adalah salah. Umpama suatu perhubungan yang sudah kelihatan penghujungnya, tetapi masing-masing tidak berani untuk mengakuinya. Direkomen tinggi (highly recommended) untuk didengari.


5) Hurt - Johnny Cash


Sejujurnya saya bukanlah begitu biasa dengan karya-karya Johnny Cash tetapi di momen saya mendengar lagu ini saya mula jatuh cinta dengan lontaran vokal beliau, walaupun lagu ini bukanlah lagu beliau, tetapi asalan dari kugiran Nine Inch Nails (satu lagi kugiran kegemaran saya). Pada pendapat saya versi yang ini lebih baik berbanding versi asal.


Sama dengan tajuknya, lagu ini memang benar-benar menyakitkan, tetapi pada masa sama, indah. Keindahan yang datang dari runtunan perasaan. Sukar untuk digambarkan. Cuba dahulu baru tahu. "And you could have it all....."


4) Elegy For Mothers And Children - Robert Fripp



Merupakan sebuah lagu instrumental mainan gitar oleh Robert Fripp, gitaris kugiran progressive hebat asalan Britain iaitu King Crimson (sekali lagi, kugiran kegemaran saya). Beliau cuba untuk bermain dengan efek-efek dan bunyian pelik dari gitar beliau dan menghasilkan satu soundscape yang unik, seolah-olah anda sedang berada di dimensi yang lain.

Lagu ini sebenarnya lebih terarah kepada suasana misteri tetapi bagi sesiapa yang baru pertama kali didedahkan dengan lagu jenisan sebegini pasti akan terasa depressed, terutamanya apabila didengar dalam tempoh yang lama. Tetapi apabila anda sudah biasa dengan lagu ini, anda pasti akan ketemu keindahan dalam kemisterian tersebut, dan seolah anda seperti mendengar lagu yang berasal bukan dari dunia ini, tapi seperti datang dari masa hadapan. Serius.


Bagi yang ingin merasai pengalaman baru, lagu ini memang untuk anda.



3) 10000 Days (Wings For Marie Pt 2) - Tool

Memang tidak lengkap rasanya senarai ini jika tidak dimasukkan lagu keramat ini. Mengisahkan tentang ibu kepada vokalis kugiran ini iaitu Maynard James Keenan yang mati kerana strok stelah 27 tahun menderita mengidap penyakit tersebut. Cuba kira 10000 hari bersamaan dengan berapa tahun?

Sebenarnya lagu ini ada sedikit berbaur unsur kematian yang merujuk kepada kristianiti, tetapi selagi anda tahu batas-batasnya, ia tidak menjadi masalah. Ada pendapat mengatakan bahawa lagu ini menunjukkan bahawa Maynard sudah menerima semula agama kristian setelah sekian lama menentang agama tersebut (untuk pengetahuan semua lirik lagu Tool ditulis oleh Maynard dan album terbaru mereka, 10000 Days, ditujukan kepada ibu beliau.) Tapi hakikatnya ia hanyalah sebagai tanda penghormatan kepada ibunya yang berpegang kuat kepada agama tersebut dan pendirian beliau tidak pernah berubah.

Pertama kali saya mendengar lagu ini pada malam harinya saya bermimpi ngeri kerana terlalu menghayati dengan mendalam. Begitulah kuatnya penangan lagu ini.


2) Prelude - Yanni

Sebuah lagu instrumental ciptaan komposer New Age asalan Greece yang bernama Yanni. Apa yang menarik mengenai lagu ini ialah penggunaan sebuah instrumen muzik purba dari Armenia yang berusia lebih 3000 tahun, yang digelar duduk. Saya punya 2 versi bagi lagu ini. Satu versi album dan satu lagi versi live dalam format video dan saya merasakan versi live lebih baik dan penuh berperasaan kerana tambahan beberapa bahagian seperti solo-solo violin yang meruntun jiwa dan perasaan.

Pertama kali saya mendengar lagu ini sejujurnya saya hampir-hampir menitiskan air mata kerana kesyahduan muziknya dan saya merasakan betapa indah dan bertuahnya hidup saya ini kerana berpeluang menghayati lagu ini. Lebih terarah kepada keindahan dan syahdu sebenarnya lagu ini, jika nak dibandingkan dengan unsur depressive. Apa-apa pun, ianya memang absolute beautiful!

Jika berkesempatan saya akan menyiarkan video tersebut di lain hari.


1) Mingled Roots - Tony Levin

Saya pernah kasi review lagu ini pada awalan artikel saya dalam blog ini. Sama juga seperti lagu Prelude di atas, menggunakan instrumen duduk sebagai instrumen utama, selain daripada double bass yang dimainkan oleh salah seorang anggota kugiran King Crimson, Tony Levin.
Jika bunyian duduk yang dihasilkan oleh lagu Yanni tadi lebih kepada bernada rendah manakala lagu ini memainkan duduk dalam nada yang tinggi pula, lantas menghasilkan bunyian yang cukup-cukup depressive. Jika dihayati lagu ini seolah-olah berasal dari negara Arab dan seperti menyampaikan mesej ketuhanan namun itu mungkin persepsi saya kerana kebanyakan drama-drama Melayu yang berunsurkan ketuhanan memang banyak menggunakan lagu jenisan sebegini.
Memang tak dinafikan, inilah lagu yang paling depressive yang saya jumpa daripada timbunan koleksi lagu-lagu saya.


Nota: Semua lagu-lagu depressive yang disiarkan di sini berada dalam keadaan 'selamat'. Banyak lagi sebenarnya lagu-lagu di luar sana yang lebih depressive dan meruntun jiwa, yang menceritakan perihal seperti bunuh diri, kematian orang tersayang dan sebagainya.

Antara lagu yang popular ialah Gloomy Sunday yang diceritakan ramai orang telah membunuh diri setelah mendengar lagu tersebut kerana begitu meruntun perasaan. Bahkan pencipta asal lagu tesebut juga telah membunuh diri dan ya, saya punya lagu tersebut dalam koleksi saya namun saya tidak berniat untuk mempromosinya.

Nasihat saya, cuba untuk tidak mendengar lagu-lagu sebegini dalam jangka masa yang lama kerana dikhuatiri akan membawa kesan berbahaya seperti kemurungan yang berpanjangan dan terlampau sehingga menimbulkan niat untuk membunuh diri. Ingat, curiosity kills the cat.

Satu peringatan serius.

2 ulasan