Blog Informasi, Idea, Kreatif

School Rumble

school-rumble
Kali ini saya ingin bercerita perihal salah satu komik Jepun kegemaran saya selain One piece, Slamdunk, Doraemon, dan Shin Chan, iaitu School rumble.

Komik ini berkisar tentang kisah romantik komedi yang berlatarkan pelajar sekolah menengah di Jepun (pastilah, takkan di Kuala Pilah Negeri Sembilan pula). Ceritanya bermula dengan pengenalan watak utama iaitu seorang gadis bernama Tsukamoto Tenma yang perilakunya tak ubah seperti seorang kanak-kanak tak cukup umur. Dengan habitat pemikiran semulajadinya yang agak-agak bengap dan seumpama seorang anak yang hiperaktif tersebut, dia masih sahaja lagi sedaya upaya untuk memikat hati seorang murid lelaki pendiam di kelasnya yang bernama Karasuma Ooji.

Pada pengenalan watak utama lelaki yang bernama Harima Kenji pula, dikisahkan beliau dahulunya seorang samseng sekolah menengah yang telah berubah hatinya semata-mata untuk memikat gadis pujaan hati iaitu Tsukamoto Tenma. Juga digambarkan sebagai seorang yang agak-agak bengap dan sering syok sendiri, beliau punya masalah besar untuk meluahkan perasaannya yang terpendam.

Ironinya, sedari siri pertama komik tersebut hinggalah siri terakhir iaitu siri ke-283, ceritanya berkisar tentang si Tenma dan Harima yang berusaha sedaya macam usaha untuk memikat si pujaan hati masing-masing namun tidak jua berhasil. Terkadang ia lebih banyak menimbulkan salah faham antara sesama mereka yang boleh menggeletek urat saraf supaya tidak henti tertawa keseorangan yang mungkin boleh menimbulkan syak wasangka di kalangan mereka di sekililing anda.

Selain itu terdapat juga beberapa watak sampingan yang lain seperti Tsukamoto Yakumo, adik perempuan kepada Tsukamoto Tenma, yang sering membantu Harima dalam menyiapkan manganya (Harima melukis manga kerana ingin meluahkan isi hatinya kepada Tenma). Namun lama-kelamaan Yakumo mula jatuh hati kepada Harima kerana mereka sering dikaitkan bersama dan Harima dengan sedaya upaya menangkis cerita tersebut kerana tidak ingin Tenma salah faham. Ironinya semakin banyak salah faham yang timbul.

Tak dapat dinafikan jalan cerita komik ini digerakkan dengan kisah-kisah salah faham antara mereka yang seolah-olah tak berpenghujung namun itulah yang menjadi nadi utama kepada komik ini. Unsur-unsur komedi yang terkadang tak masuk dek akal mahupun melanggar hukum-hukum fizik memang banyak diterapkan namun dalam sesetengah episod terdapat juga beberapa babak yang agak menyentuh perasaan. Antara yang menonjol ialah pada siri ke-99, 268 dan 273. Memang benar-benar menyentuh jiwa nurani seorang insan yang suci. Oh..

Secara keseluruhannya komik ini memang menarik untuk dibaca, dengan unsur-unsur jenaka bersih dan santai, selain dari pengaruh setiap watak yang punya keunikan tersendiri. Namun bagi yang peristiwa hidup mereka ada sedikit terakam dalam kisah pejalanan watak-watak dalam komik ini pasti akan terkesan dan mengundang sedikit tawa kecil keseorangan.

Tiada ulasan

Catat Ulasan