Terbaru negara digemparkan dengan kisah pencerobohan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke perairan sempadan Malaysia-Indonesia di sebuah kawasan digelar Ambalat. Tidak dapat tidak peristiwa ini berkemungkinan bakal mengundang konflik antara kedua negara.
Pencerobohan ruang ataupun space violation bukanlah perkara asing dalam hidup seharian manusia. Malah penguasaan ruang juga sebolehnya dikaitkan dengan kuasa ataupun kedudukan yang dimiliki seseorang, tak ubah seperti haiwan yang bergaduh sesama sendiri semata-mata untuk mempertahankan kawasan masing-masing.
Semakin luas ruang yang dimiliki seseorang, maka semakin besarlah kuasa yang dimilikinya. Lihat sahaja bagaimana negara-negara kuasa besar seperti United Kingdom, Sepanyol, Perancis, Amerika Syarikat, Portugal, Belanda dan lain-lain ketika zaman imperialis dahulu cukup rakus menawan dan menjajah negara-negara kecil dan miskin semata untuk menunjukkan keangkuhan kuasa dan kedudukan negara masing-masing.
Hidup hari ini juga tidak lepas akan gejala imperialisme di kalangan masyarakat sendiri. Mereka yang punya wang dan kuasa sebolehnya ingin memiliki sebidang tanah seluas yang mungkin, yang hanya didiami beberapa kerat sahaja isinya. Memandu kereta limosin besar di jalan raya, meragut ruang pemandu-pemandu lain sedangkan yang mengisi kenderaan hanya sekerat dua. Pejabat pula cukup luas hanya untuk dinikmati seorang sedangkan pekerja bawahan berhimpit bersesak di kubikal masing-masing.
Tidak dapat tidak penguasaan ruang sebegini boleh menandakan ketinggian ego seseorang itu. Semakin besar egonya semakin luas ruang yang diperlukan.
Cuma persoalannya apakah yang membezakan antara manusia dan haiwan apabila kedua-duanya sama bercakaran sesama sendiri semata-mata untuk mempertahankan kawasan masing-masing?
Tiada ulasan
Catat Ulasan