Masalah tempat pembuangan sampah yang sudah tidak mampu untuk menampung jumlah isinya kerana pengeluaran sampah yang semakin banyak bukanlah isu baru. Malah kita semua sedia maklum plastik merupakan bahan yang tidak mampu untuk terbiodegrasi dan memerlukan ratusan tahun untuk terurai.
Maka dengan penemuan terbaru ini mampukah masalah yang disebutkan di atas diatasi?
Pada pandangan peribadi saya ialah ya dan tidak.
Mungkin ia mampu untuk sedikit sebanyak menyelesaikan masalah tempat pembuangan sampah yang terlebih muatan dan masalah plastik yang tidak terbiodegrasi namun ia bukanlah penyelesaian terbaik untuk alam sekitar secara keseluruhannya. Ia seolah-olah seperti menggali lubang yang lain untuk menutup satu lubang. Seperti meminjam wang untuk membayar hutang.
Masih ingat prinsip keabadian tenaga (conservation of energy)? Tenaga tidak boleh dicipta atau dimusnahkan, ia hanya berpindah dari satu sistem ke sistem yang lain. Sama juga konsepnya dengan perkara yang dibincangkan sekarang.
Walaupun sampah itu mampu ditukar bentuk dan fungsinya, namun masalah yang dibawanya kepada alam sekitar tak pernah berubah. Penggunaan petroleum untuk dijadikan bahan bakar samada untuk menggerakkan jentera mahupun menjana tenaga elektrik masih sahaja memudaratkan alam sekitar dan membawa kepada pelbagai macam pencemaran.
Masalahnya masih disitu, cuma seperti prinsip keabadian tenaga tadi, ia berpindah dari satu sistem (punca penyebab pencemaran) ke sistem yang lain.
Kenapa tidak sahaja dalam menangani isu sampah yang semakin bertimbun ini negara-negara di seluruh dunia bekerjasama dalam menyumbang dana dan kepakaran untuk membina satu kapal angkasa yang mampu membawa jutaan tan sampah yang sudah diproses dan melepaskannya ke angkasa? Namun mungkin idea ini hanya akan digunakan apabila bumi sudah tercemar teruk dan memerlukan tindakan drastik untuk melupuskan sampah yang semakin bertimbun untuk mengelakkan pencemaran yang lebih dahsyat.
Serasanya bumi kita sekarang tidak tercemar sebegitu hebat sehingga memerlukan kita mengambil langkah ekstrem tersebut. Namun jika langkah pemulihan dan kesedaran tidak dimulakan sekarang, mungkin anak cucu kita terpaksa berbuat sedemikian.
Tiada ulasan
Catat Ulasan