Blog Informasi, Idea, Kreatif

Sekeping Gambar Yang Menyayat Hati Dan Meruntun Jiwa Dari Gaza

Kata orang sekeping gambar mampu memberi seribu makna.

Tapi kadang-kadang bagi kita yang melihat sesuatu gambar itu mungkin tidak berapa faham akan makna dan perasaan di sebaliknya berbanding mereka yang mengambilnya di tempat dan masa itu.

Bagi saya begitu juga halnya dengan sekeping gambar yang diambil oleh Bernat Armangue, seorang jurugambar bagi agensi berita Associated Press ini. Gambar yang diambil pada 18 November lalu di Gaza, Palestin ini dipilih oleh laman web TIME sebagai 'Top 10 Photos of 2012'.

Seperti yang kita sedia maklum, konflik di Gaza sebulan yang lepas telah menyaksikan lebih kurang 174 warga Palestin terkorban akibat serangan tentera Israel.

Sekali imbas, mungkin gambar ini tidak memberi kesan mendalam bagi kita yang melihatnya namun ianya terkumpul cerita sedih yang sangat menyayat hati dan meruntun jiwa, akibat daripada kekejeman mereka yang tidak mengenal erti perikemanusiaan.

Sekeping gambar yang membawa perasaan bagaimana rasanya kehilangan seseorang yang tersayang akibat daripada penindasan yang tak pernah terhenti.

lelaki-bersedih-kehilangan-saudara-di-gaza-palestin

Cerita Bernat Armangue, yang telah mengambil gambar ini:

"Membuat liputan sesuatu konflik tidak pernah menjadi satu tugas yang mudah, namun sejak saya bergelar ayah setahun yang lepas, peperangan menjadi semakin sukar buat saya. Hari ini menjadi begitu rumit, 11 ahli keluarga Daloo telah terbunuh apabila peluru berpandu Israel telah menghentam rumah dua tingkat milik keluarga tersebut di Gaza, dan saya menghabiskan sepanjang hari mengambil gambar mayat-mayat yang ditarik keluar dari bawah runtuhan.

Saya mengambil gambar ini pada lewat hari tersebut. Bilik mayat telah sesak dan ianya sangat bising. Di belakang saya, beberapa wartawan sedang membuat liputan dan mengambil gambar empat orang kanak-kanak dari keluarga Daloo yang terkorban.

Di hadapan saya, sekumpulan lelaki yang baru sahaja menyerbu masuk ke dalam bilik berhadapan dengan realiti kejam melihat mayat insan tersayang mereka. Semuanya berlalu dengan begitu pantas, tetapi saya teringat melihat seorang lelaki yang berderai air matanya membasahi tangan yang sudah terkulai sambil berbisik "ma'a salama" (selamat jalan dalam bahasa Arab).

Saya selalu berfikir peperangan membawa perkara yang terbaik dan terburuk kepada manusia. Bagi saya, ini adalah detik kasih sayang yang sedih dan menyayat hati."

Aduhai, sampai bilakah agaknya kekejaman ini akan berterusan. Yang lebih menyayat hati entah berapa ramai agaknya warga Palestin dan negara bergolak yang lain yang mengalami nasib yang sama kehilangan insan yang tersayang seperti dalam gambar di atas.

Peliknya, kes seorang gadis, Amanda Todd yang membunuh diri akibat tekanan dibuli menjadi perhatian menyeluruh warga dunia sehingga namanya menjadi antara 10 perkara paling banyak di-google tahun ini, namun tragedi yang melanda keluarga Daloo ini yang sehari-hari menunggu masa dibedil peluru Israel seakan dipandang sepi media antarabangsa.

Mungkinlah benarlah kata orang, "a single death is a tragedy, a million deaths is a statistic."

Tiada ulasan

Catat Ulasan