-Ketika sedang mengemas akhbar-akhbar lama di rumah saya menemukan dua helai kertas yang tertulis atasnya satu artikel yang saya rasa bermanfaat jika dikongsi bersama. Artikel tersebut ditulis oleh Dr Siddiq Fadil, yang bertajuk Pembinaan Generasi Berkualiti-:
Pada mulanya tampak seperti suatu gurauan ketika Umar Ibn Al-Khattab r.a. mengajak kawan-kawannya yang sedang berhimpun di sebuah rumah itu seupaya berangan-angan, mengkhayalkan apa yang paling mereka inginkan ketika itu. Seorang dari mereka bersuara:
"Aku mengangan-angankan agar rumah ini dipenuhi emas yang nanti akan aku belanjakan di jalan Allah."
Seorang yang lain pula menyampuk,
"Aku pula mengangan-agankan agar rumah ini dipenuhi intan permata yang nanti akan aku sedekahkan dan belanjakan di jalan Allah."
Begitulah seterusnya hingga mereka kehabisan angan-angan, "Kami tidak tahu apa lagi yang harus kami katakan wahai Amirul mu'minin."
Setelah itu barulah Umar sendiri menyatakan keinginannya,
"Aku mempunyai keinginan lain. Aku menginginkan sejumlah orang-orang hebat seperti Abu 'Ubaydah ibn Al-Jarrah, Mu'adh ibn Jabal dan Salim Maula abi Hudhaifah untuk membantu aku mendaulatkan kalimah Allah."
Ternyata ia bukan sekadar suatu gurauan, tetapi suatu dialog yang cukup bermakna, dialog yang membawa mesej tentang peri pentingnya membina generasi yang berkualiti untuk melaksanakan impian dan cita-cita umat. Dalam rangka menjayakan risalahnya - membangun umat dan tamadun yang unggul - Nabi SAW telah melaksanakan program pembinaan kelompok teras yang menulangbelakangi pembentukan umat baru. Kelompok teras yang berkualiti itulah yang disebut oleh Sayid Qutb sebagai "Generasi Quranik yang unik" itu.
Generasi tersebut telah mengalami transformasi radikal menerusi penghayatan nilai-nilai dinamik dari Al-Quran. Sejumlah tokoh kaliber dunia telah ditampilkan serentak, dengan setiap orang mencapai keunggulan di bidang masing-masing. Rasulullah adalah pemimpin dan pendidik yang cukup mengenali potensi para pengikutnya, lalu Baginda memberikan galakan dan bimbingan yang secukupnya sehingga potensi itu dapat berkembang.
Di bawah pimpinan Rasulullah SAW semua orang mendapat kesempatan untuk mengembangkan bakat dan potensinya, termasuk mereka yang pernah memusuhi Islam seperti Umar ibn Al-Khattab dan Khalid ibn al-Walid. Rasulullah tidak mendiskriminasikan mereka dan tidak mengungkit-ungkit masa silam mereka. Malah Baginda dan umat Islam seluruhnya merasakan mereka sebagai asset besar kepada Islam.
Dalam 'budaya kualiti' zaman tersebut tidak ada amalan cantas-mencantas terhadap golongan muda yang berbakat. Dalam suasana demikianlah orang-orang muda seperti Usamah ibn Zayd diberi kesempatan memimpin ekspidisi ketenteraan ketika usianya masih dalam lingkungan belasan tahun. Mamang dalam beberapa hal tamadun Islam memberikan penilaian tertentu kepada faktor kekakanan atau seniority. Tetapi ia bukan sesuatu yang mutlak. Penilaian terhadap faktor seniority tidak seharusnya sampai menjejaskan perkembangan bakat-bakat muda. Amalan mengutamakan potensi ini terus melanjut ke zaman-zaman selepas era Nabawi. Dikatakan dalam satu pertemuan dengan seorang Khalifah Umayyah, seorang anak muda telah tampil sebagai jurubicara kaumnya. Khalifah tersebut semacam keberatan menerimanya lalu berkata, "Tampillah yang lebih tua daripada kamu." Anak muda itu menjawab, "Wahai Amirul mu'minin, andainya keutamaan itu berdasarkan umur, rasanya ada orang lain yang lebih berhak untuk menjadi khalifah dari tuan."
Pembinaan generasi teras yang berkualiti itu tidak juga berasaskan kepada faktor keturunan. Tidak ada diskriminasi dalam pengembangan potensi, hatta terhadap anak Abu Jahal sekalipun. Amalan mewariskan posisi penting kepada anak-cucu tanpa memperhitungkan bakat dan potensi akan mengakibatkan pudarnya kualiti. Hal ini telah diisyaratkan dalam Al-Quran ketika Allah mengangkat Nabi Ibrahim a.s. sebagai pemimpin manusia, lalu Nabi Ibrahim meminta agar dari kalangan zuriatnya juga akan diangkat menjadi pemimpin. JawapanNya:
"JanjiKu tidak untuk orang-orang yang zalim."
(Surah al-Baqarah : 124)
Memang Allah mengabulkan permintaan Nabi Ibrahim itu dengan melantik keturunannya menjadi Nabi, tetapi tidak semua keturunan Nabi Ibrahim a.s. layak dan berhak menjadi pemimpin, hanya berkualiti dan adil sahaja yang akan dilantik.
Dari satu segi bilangan yang ramai atau kuantiti itu penting terutama dalam konteks sistem demokrasi seperti yang kita amalkan sekarang ini. Tetapi kuantiti tanpa kualiti tidak akan membawa kita ke mana-mana. Dalam suasana-suasana tertentu nilai seorang yang berkualiti tinggi mungkin mengatasi ratusan orang yang tidak berkualiti. Dalam sejarah Islam pernah terjadi peristiwa yang mengesahkan kenyataan tersebut. Ketika Khalid al-Walid mengepung al-Hirah, beliau telah meminta bantuan tambahan tentera kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a., tetapi Abu Bakar tidak menghantar bantuan pasukan tentera, yang dihantar kepada Khalid hanya al-Qa'qa' ibn Umar at-Tamimi seorang sahaja. Kata Abu Bakar, "Pasukan tentera yang mengandungi seorang seperti beliau tidak akan dapat dikalahkan. Kehadiran dan suara seorang al-Qa'qa' di tengah tentera Islam lebih bererti dari tambahan seribu pejuang." Ini bererti sumbangan, fikiran bernas, khidmat dan doa seorang yang berkualiti dan berkaliber besar seperti beliau itu lebih bererti dari hingar-bingar dan riuh-rendah orang ramai di pinggir jalan.
Dalam hubungan nilai kualiti ini Al-Quran menyatakan:
"Katakanlah: Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu..."
(Surah al-Ma'idah : 100)
Pembinaan generasi pelanjut yang berkualiti seharusnya mendapat perhatian utama 'outgoing generation' atau generasi yang akan pergi. Pemimpin-pemimpin masa kini seharusnya mempunyai keinginan seperti keinginan Umar ibn al-Khattab tadi, keinginan untuk punya generasi pelanjut yang cukup competent dan berkemampuan menghadapi cabaran hari depan. Kejayaan Wawasan 2020 akan banyak bergantung kepada keupayaan generasi sekarang membina kualiti generasi pelanjut itu.
Sebagaimana yang telah banyak diramalkan bahawa masyarakat Wawasan 2020 akan merupakan masyarakat persaingan yang sengit. Sekarang ini pun kita sedang sama-sama merasakan betapa cemasnya generasi anak-anak kita yang berhempas-pulas dan tercungap-cungap menghadapi saingan di pelbagai bidang terutama di bidang pendidikan.
Memang kita telah melaksanakan pelbagai strategi untuk memperkuat generasi muda Melayu-Muslim ini, tetapi ternyata saingan-saingan kita juga punya strategi mereka sendiri. Malah mustahil generasi Melayu-Muslim abad mendatang ini tidak akan menghadapi cabaran generasi baru bukan Melayu yang lebih agresif. Sekarang pun kita sudah merasai bahangnya. Oleh itu strategi dan program pembinaan generasi pelanjut ini perlu diberi perhatian yang lebih serius.
Al-Quran sendiri telah menyinggung soal keprihatinan terhadap nasib generasi mendatang dan perlunya membina generasi yang kuat.
"Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat turunan yang lemah..."
(Surah An-Nisa' : 9)
Ayat tersebut terasa mengandungi semacam ancaman terhadap 'outgoing generation' andainya mereka mengabaikan tanggungjawab membina generasi pewaris yang kuat, generasi yang beriman dan beramal, berilmu dan berakhlak, berotak cerdas dan berjiwa murni.
(1994)
klasik..
BalasPadamelclasico..
BalasPadam